Prestasi lebih baik separuh kedua
KUALA LUMPUR 20 Julai - Kumpulan Public Bank optimis mampu mencatatkan prestasi kewangan lebih kukuh pada tahun ini disokong oleh pertumbuhan pinjaman pada separuh kedua 2010.
Pengarah Urusannya, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, pemulihan ekonomi dengan unjuran pertumbuhan sebanyak enam peratus pada tahun ini dijangka memacu prestasi bank ini.
Tambahnya, kenaikan Kadar Dasar Semalaman sebanyak tiga kali yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia akan membantu meningkatkan margin keuntungan Public Bank.
Menurut beliau, berdasarkan rekod kukuh pinjaman pada separuh pertama, Public Bank dijangka mampu mengekalkan pertumbuhan sebanyak 15 peratus sepanjang tahun ini.
''Pinjaman ini akan difokuskan kepada sektor peruncitan termasuk pembiayaan kediaman, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sewa beli,'' katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan prestasi kewangan separuh pertama 2010.
Bank ketiga terbesar itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM1.42 bilion bagi separuh pertama 2010, 18 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama 2009.
Keuntungan sebelum cukai yang direkodkan juga meningkat sebanyak 22 peratus kepada RM1.90 bilion, disokong pertumbuhan kukuh sebanyak 16 peratus dalam pendapatan faedah dan pembiayaan bersih, pendapatan bukan faedah lebih tinggi dan peruntukan pengurangan nilai pinjaman lebih rendah.
Sementara itu, Pengerusinya, Tan Sri Teh Hong Piow berkata, dua kenaikan dalam Kadar Dasar Semalaman pada bulan Mac dan Mei 2010 berjumlah 0.5 peratus diterjemahkan peningkatan langsung kepada margin faedah bersih.
Menurutnya, dengan margin faedah bersih yang bertambah baik, beserta pertumbuhan organik kukuh dalam pinjaman dan deposit pelanggan, pendapatan faedah dan pembiayaan bersih Kumpulan Public Bank meningkat sebanyak RM350 juta dalam tempoh itu.
Pendapatan bukan faedah juga berkembang sebanyak 19 peratus, dipacu oleh kenaikan dalam yuran pengurusan unit amanah, pendapatan pertukaran asing yang lebih tinggi serta yuran pembrokeran dan komisen daripada aktiviti pembrokeran saham.
Seiring dengan ekonomi yang bertambah baik, Public Bank telah mencatatkan peningkatan kukuh dalam jumlah pinjaman dan pendahuluan sebanyak RM10 bilion pada separuh pertama 2010 mencecah RM147.6 bilion pada Jun tahun ini.
Aktiviti pinjaman masih ditumpukan kepada sektor runcit terutama pinjaman kepada perusahaan perdagangan pasaran pertengahan dan pinjaman bagi pembiayaan harta kediaman dan pembelian kenderaan penumpang iaitu 78 peratus pada akhir Jun 2010.
Dalam tempoh tersebut, Public Bank juga telah meluluskan pinjaman berjumlah RM5.5 bilion kepada PKS dalam negeri.
Hong Piow berkata, deposit pelanggan teras bertambah sebanyak 7.6 peratus bagi separuh pertama 2010 berbanding pertumbuhan amat kecil sebanyak 0.15 peratus dalam deposit pelanggan teras industri untuk lima bulan pertama 2010.
Pertumbuhan deposit teras itu disokong oleh aliran masuk deposit kukuh terutama deposit tetap dan deposit simpanan yang mengatasi penguncupan dalam deposit-deposit.
Mengulas mengenai prestasi operasi luar negaranya, beliau menambah, Public Bank masih menumpukan kepada Hong Kong dan Kemboja.
Kumpulan Public Bank, katanya, akan membuka dua cawangan di Hong Kong pada separuh kedua 2010 dan lapan cawangan disasar pada tempoh sama di Kemboja.
No comments:
Post a Comment