Tuesday, July 20, 2010

DRB MENCATAT KEUNTUNGAN BESAR- keuntungan sebelum cukai sebanyak RM657.9 juta

Perolehan tertinggi 10 tahun

KUALA LUMPUR 20 Julai 2010 - DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) merekodkan perolehan tertinggi dalam tempoh 10 tahun sebanyak RM6.31 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010.

Mereka turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM657.9 juta untuk tempoh yang sama manakala keuntungan operasi meningkat sebanyak 115 peratus kepada RM446.5 juta berbanding RM207.4 juta. 

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil berkata, ia merupakan pencapaian yang membanggakan kepada Kumpulan.

''Perniagaan kami adalah berasaskan pelanggan dan keputusan kewangan yang dicapai adalah sangat membanggakan walaupun ekonomi melembapkan perbelanjaan pelanggan.

''Ia juga merupakan ujian kepada asas yang menjadikan Kumpulan terus kukuh,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Aset Kumpulan berada pada RM26 bilion berbanding RM21.5 bilion untuk tempoh yang sama sebelumnya. Tambah Mohd. Khamil, pencapaian tersebut juga disebabkan oleh kesediaan Kumpulan berhadapan dengan krisis seawal krisis sub prima Amerika Syarikat (AS) pada 2007.

''Kumpulan juga, telah melaksanakan strategi termasuk pengurusan kos berhati-hati beserta penekanan terhadap inovasi untuk meningkatkan aliran perolehan.

''Sebanyak 57 peratus atau RM3.6 bilion daripada jumlah keseluruhan perolehan Kumpulan disumbangkan oleh perniagaan utama automotif yang sering menjadi penyumbang utama,'' jelasnya.

Pada tempoh yang sama, perniagaan automotif terkena tempias kelembapan ekonomi dan ia telah menyebabkan Kumpulan melaksanakan strategi termasuk pengurusan kos berhati-hati dan inventori.

No comments:

Post a Comment