Wednesday, July 21, 2010

DIGI CATAT UNTUNG BERSIH RM556.7 JUTA

DIGI.COM Bhd (DiGi), pengendali rangkaian mudah alih ketiga terbesar negara, mencatat untung bersih RM556.7 juta dalam tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun lalu, meningkat 9.2 peratus berbanding RM509.9 juta yang diraih dalam tempoh sama tahun lalu.

Pencapaian itu didorong peningkatan pendapatan sebanyak 9.1 peratus kepada RM2.64 bilion daripada RM2.42 bilion sebelumnya berikutan peningkatan penggunaan dan pertambahan jumlah pelanggan yang kini mencecah 8.1 juta. 
 
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun, DiGi mencatat untung bersih RM278.4 juta, meningkat 18.7 peratus kepada RM234.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu, didorong peningkatan pendapatan kepada RM1.34 bilion daripada RM1.2 bilion. 

Mengulas perkembangan itu, Ketua Eksekutifnya, Henrik Clausen, berkata pencapaian itu diraih susulan peningkatan minat pengguna terhadap perkhidmatan pascabayar dan pendapatan data berikutan pengenalan pakej telefon bimbit dan pelan data yang menarik.

“Buat masa ini, syarikat itu mempunyai sejumlah 2.7 juta pelanggan yang aktif menggunakan perkhidmatan internet mudah alih dan jalur lebar mudah alih, “Meskipun pendapatan meningkat, margin untung kasar susut kepada 43.3 peratus daripada 44.6 peratus disebabkan oleh peningkatan jualan pakej telefon bimbit seperti dalam suku sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Perkara itu, katanya, sebahagiannya dapat diimbangi oleh peruntukan bagi kerugian kredit yang lebih rendah ekoran perolehan yang lebih baik, dan peningkatan penjimatan ekoran pelaksanaan inisiatif kecekapan operasi.

No comments:

Post a Comment